KUALA LUMPUR: Keluar mengundi beramai-ramai merupakan cara untuk memastikan calon antirasuah boleh menang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, sekiranya rakyat memilih untuk tidak mengundi,  calon yang tidak mempunyai integriti akan lebih berpeluang untuk menang.

Dr Mahathir berkata, beliau sedar bahawa ramai yang sudah bosan dengan politik selepas berlakunya kerajaan yang dipilih dijatuhkan akibat adanya ahli parlimen yang lompat parti.

"Untuk ini kita perlu ada undang-undang anti-lompat. Mereka yang lompat akan hilang keahlian mereka sebagai wakil rakyat.

"Pilihan Raya Kecil (PRK) boleh diadakan. Terpulanglah kepada rakyat sama ada memilihnya atau orang lain. Jika rakyat setuju dengannya, beri kemenangan kepadanya maka jatuhlah kerajaan pilihan rakyat.

"Jika ia dikalahkan, maka kerajaan pilihan rakyat akan kekal," katanya menerusi tulisan terbaru di blognya chedet.cc.

Beliau juga menegaskan kaedah menukar kerajaan dengan lompat parti tidak boleh dilakukan jika kemenangan yang besar diberikan kepada calon antirasuah.

"Sebaliknya jika kemenangan puak antirasuah tipis maka keadaan tidak menentu dan percubaan memasuki pintu belakang akan berulang.

"Sama ada negara kita dapat dipulih semula atau tidak, terpulang kepada rakyat yang sayang kepada negara dan ingin lihat perasuah dan penyangak dikalahkan," katanya lagi.

Dr Mahathir berkata, rakyat perlu sedara bahawa dengan tidak mengundi parti perasuah dan yang terlibat dengan mencuri duit kerajaan, salah guna kuasa akan menang.